BAPA SITI MENINGGAL DUNIA...
KUALA LUMPUR 15 Feb. – Bapa kepada penyanyi terkenal, Datin Seri Siti Nurhaliza, Taruddin Ismail meninggal dunia di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang dekat sini pada pukul 11.50 pagi ini akibat serangan jantung.
Pesara polis berusia 67 tahun itu turut mengalami komplikasi buah pinggang dan kencing manis.
Allahyarham dimasukkan ke hospital tersebut sejak Jumaat lalu selepas rebah di kediamannya di Kuala Lipis kira-kira pukul 5 pagi.
Selepas dikejarkan ke Hospital Pakar Ampang Puteri, beliau kemudian menjalani pembedahan pintasan koronari pada hari yang sama.
Bagaimanapun, sebaik selesai pembedahan, Allahyarham tidak sedarkan diri dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pagi ini di sisi isteri, Siti Salmah Bachik, 57, dan tujuh orang anak.
Menurut Siti, pemergian allahyarham cukup dirasai kerana bapanya itu adalah orang yang banyak memberikan semangat untuknya melalui liku-liku hidup sebagai insan seni.
“Selain ibu, bapa saya jugalah yang akan bersusah payah menguruskan Siti sewaktu Siti ingin memasuki pertandingan nyanyian ketika zaman kanak-kanak dahulu.
“Dia banyak beri dorongan. Siti selalu dinasihatkan oleh bapa saya agar sentiasa kuat semangat.
“Siti reda dengan pemergiannya walau berasa sedih,” jelas Siti kepada pemberita di sini.
Katanya, sebelum menghembuskan nafas terakhir, dia sempat membisikkan kalimah syahadah di telinga allahyarham di samping membacakan surah Yasin bersama ibu dan adik beradik yang lain.
Sementara itu, jenazah allahyarham dibawa ke kediaman Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa di Bukit Antarabangsa untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.
Antara kenamaan yang menziarahi jenazah adalah Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob.
Jenazah kemudiannya dibawa ke Kuala Lipis untuk urusan pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tempoyang selepas solat Maghrib ini.
Sementara itu, jenazah bapa Siti Nurhaliza selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tempoyang pada pukul 7.30 petang ini.
Sebelum itu, jenazah Allahyarham tiba pada pukul 6.35 petang untuk disembahyangkan di Masjid Adi Talib, lebih kurang 300 meter dari tanah perkuburan tersebut.
Kira-kira 500 penduduk tempatan dan saudara mara termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Padang Tengku, Abdul Rahman Mohamed turut hadir menyaksikan upacara pengkebumian itu.(al-fatihah untuk ayahanda tercinta SITI,semoga rohnya dicucuri rahmat)
No comments:
Post a Comment